Muhyiddin nasihat MB Johor utamakan ahli PH berbanding bekas Umno

Osman perlu buat keputusan dengan berhati-hati dan mengutamakan ahli Pakatan Harapan (PH) bukan ahli luar

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mengutamakan ahli Pakatan Harapan dalam pelantikan barisan pegawai.

Beliau berkata demikian selepas Osman dilaporkan melantik seorang bekas ahli Umno sebagai setiausaha sulit.

“Dalam tempoh yang awal ini kita kena bertindak secara berhati-hati. Beliau baru mungkin belum ada pengalaman.

“Walaupun nama itu dia tidak kenal siapa tetapi dikatakan bekas pemimpin Umno bahagian di Johor,” katanya ketika ditemui di kediaman Ketua Umum PKR, Datuk Seri Amwar Ibrahim.

Beliau hadir bagi berkongsi kegembiraan pembebasan Anwar.

Osman dilaporkan melantik bekas presiden majlis daerah Kota Tinggi Fizwan Rashidi sebagai setiausaha sulit berkuatkuasa semalam, mencetuskan perasaan tidak puas hati ramai dalam PH yang mempersoalkan komitmen pentadbirannya kepada integriti.

Muhyiddin mengingtkan Osman supaya mengambil kira kebolehan dalam gabungan PH terlebih dahulu daripada menimbulkan rasa kurang senang dan kemarahan orang.

“Kita harus mengutamakan parti kita dulu dalam apa sudut baik dari segi kepimpinan, soal membentuk dasar dan soal-soal lain,” katanya.

Muhyiddin berkata Osman boleh menjadi menteri besar yang disegani, dihormati dan mampu memikul tugas dengan baik jika mengamalkan saranan yang diberikan.

“Saya telah buka cadangan kepada Sultan Johor supaya terbentuk sebuah badan pernasihat yang meliputi pelbagai aspek termasuk ekonomi yang boleh bantu pentadbiran negeri,” katanya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments
Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login